Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Nasionalisme ’sihat’ untuk bangsa dan agama

20 Julai 2008

 

Oleh MOHD. ARIF ATAN

 

Seminar Penulis Pacsa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU ke-12) anjuran Badan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pada Sabtu (19 Julai 2008) lalu di Muzium Negeri Selangor Shah Alam adalah satu wadah percambahan akal budi yang baik dalam menilai sejauh mana peranan dan tanggungjawab golongan penulis dalam perkembangan politik negara mutakhir ini.

 

Program dari pagi sehingga petang itu dimulakan dengan sesi pembentangan empat kertas kerja disusuli wacana forum dengan membariskan semua kategori golongan penulis tanpa mengira kecenderungan politik.

 

Mereka terbabit merupakan sasterawan, aktivis politik, penggiat seni dan budaya, agamawan, penerbit, ahli akademik dan penggiat filem bebas iaitu Sasterawan Negara S.Othman Kelantan, Hishamuddin Rais, Anbakri, Dr. Mohd Asri, Ainon Mohd, Tan Sri Dato’ Dr. Nordin Kardi, Amir Mohamad dan Dr. Chong Fah Hing.

 

Namun, penulis ingin menarik perhatian terhadap pembentangan salah satu kertas kerja yang menyentuh tentang peranan penulis sama ada mengepalai atau mengekori.

 

Alangkah terkejutnya apabila pembentang tersebut tegas mendakwa ”kebatilan nasionalisme” adalah punca perpecahan kaum atau ketegangan ras di negara ini.

 

Walaupun salah seorang peserta bangun mengemukakan pendapat bahawa premis itu tidaklah tepat dalam erti kata sebenar dengan mengambil contoh Piagam Madinah juga mengandungi unsur nasionalisme tetapi pembentang tetap dengan pendiriannya.

 

Tinjauan penulis melalui internet juga mendapati bukan sedikit kalangan kita yang mengganggap nasionalisme begitu berbahaya. Lazimnya, mereka datang dari pertubuhan pelajar yang menuntut di Tanah Arab seperti Persatuan Pelajar Malaysia Syria, Persatuan Melayu Republik Arab Mesir dan lain-lain.

 

Bagaimana anggapan tersebut masih timbul sedangkan perbincangan berkenaan nasionalisme yang bukannya satu fahaman bersifat perkauman sempit atau ’asabiyyah jahiliyyah telah lama dibicarakan sebelum ini?

 

Adalah hanya kerana Islam agama sejagat maka konsep nasionalisme tidak relevan lagi apatah lagi dengan keadaan masyarakat majmuk rakyat negara ini?

 

Malah, Dr. Burhanuddin al-Helmy yang merupakan pemimpin ketiga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah lebih awal menerangkan perjuangan faham kebangsaan atau nasionalisme adalah dalam perspektif yang luas selari dengan konsep ’asabiyyah asal seperti mana menurut huraian Ibnu Khaldun.

 

Ini kerana Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah menyatakan bahawa ’asabiyyah adalah penting untuk masyarakat, bangsa dan negara sebagai pertahanan, kawalan yang baik, menuntut yang hak dan menjauhkan diri daripada dizalimi. (Wan Mohd Azam Mohd Amin, 1997:24-25).

 

Apakah akibatnya jika sesebuah bangsa itu mengabaikan nasionalisme? Bagi Burhanuddin al-Helmy lagi dalam Perjuangan Kita agama sesebuah bangsa itu juga akan ditindas apabila bangsa itu sendiri lemah.

 

Oleh itu, mahu tidak mahu semua pihak terutama golongan Islamik perlu menjernihkan tanggapan mereka terhadap konsep nasionalisme ’sihat’ yang penting bagi kelangsungan bangsa Melayu, agama Islam dan rakyat Malaysia.

July 20, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a comment