Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Tegakkan kerajaan Malaysia baru berteraskan bangsa Melayu

Oleh MOHD. ARIF ATAN, Universiti Malaya.

30 Julai 2008.

Sekali lagi 27 juta rakyat Malaysia akan bergembira berada di ambang sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air pada bulan Ogos ini.

Namun, dalam masa yang sama adakah seluruh orang Melayu baik pemimpin mahupun  rakyat terbanyak sudah merenung dan berfikir akan sejauh mana kelangsungan bangsa Melayu dapat bertahan di negara ini pada ulang tahun kemerdekaan masa-masa mendatang?

Kebetulan pula sekarang ini timbul isu rundingan bersemuka demi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam yang dipanggil muzakarah atau muqabalah di antara PAS dan UMNO.

Malah, pelbagai reaksi pro dan kontra timbul apabila Nik Aziz mencadangkan pula pembubaran parti UMNO dan PAS untuk membentuk sebuah parti politik baru hasil gabungan kedua-dua parti pilihan orang Melayu itu.

Namun, jika pemimpin dan pengikut parti UMNO dan PAS mengetepikan sentimen politik dan kuasa parti masing-masing, usul tersebut wajar benar disokong.

Tambahan pula, dirasakan hak dan kepentingan orang Melayu semakin hari semakin merosot terutama selepas pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) Mac lalu sehingga Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menyifatkan keadaan kini umpama satu evolusi yang kejam terhadap masa depan bangsa Melayu. (Dewan Masyarakat, Edisi Khas 2008)

Oleh itu, ada baiknya rundingan UMNO-PAS dapat menghasilkan suatu momentum besar demi manfaat kepada bangsa Melayu sekaligus agama Islam jika itu juga mahu diperjuangkan.

Penulis mencadangkan agar sebuah parti berteraskan Melayu-Bumiputera diwujudkan jika kita benar-benar mahu melihat bangsa Melayu kelak selamat di tanah airnya sendiri.

Bahkan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari UIAM juga menegaskan bahawa orang Melayu boleh sahaja memerintah Malaysia ini sendiri tanpa sokongan kaum lain berdasarkan komposisi 65 peratus orang Melayu-Bumiputera kini. (Sinar Harian, 28 Julai 2008, N15)

Analisis penulis terhadap keputusan PRU-12 turut mendapati usul tersbut bukanlah cakap kosong atau tanpa asas bukti yang konkrit. Hanya terpulang pada kesungguhan politik (political will) para pemimpin Melayu dan desakan seluruh umat Melayu akan mampu merealisasikan hasrat tersebut.

Sebelum ini kita hanya tahu bahawa BN memperoleh majoriti mudah (simple majority) 63.1 peratus. Walhal, jika kita perhalusi lagi statistik pilihan raya tersebut sebenarnya tersembunyi satu isyarat jelas bahawa tibalah masanya orang Melayu memerintah sendiri tanpa terlalu banyak bergantung pada kaum lain.

Berikut adalah  peratusan jumlah kerusi yang mewajarkan usul tersebut dijadikan kenyataan:

1)      BN: Bumiputera = 79.3 peratus, bukan bumiputera = 20.7 peratus

PR : Bumiputera = 52.4 peratus, bukan bumiputera = 47.6 peratus

 

2)      Bumiputera BN = 50.0 peratus

Bumiputera PR = 19.4 peratus

Bukan bumiputera BN = 12.9 peratus

Bukan bumiputera PR = 17.7 peratus

 

Ini bermakna jika Bumiputera dari kedua-dua pihak (BN & PR) bergabung, bangsa Melayu termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak memiliki lebih dua per tiga kerusi iaitu 69.4 peratus untuk membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang baru!

 

Dengan tertubuhnya kerajaan Malaysia berpemimpinkan Melayu sahajalah usaha membentuk bangsa Malaysia berteraskan kebudayaan Melayu seperti yang terkandung dalam semangat Dasar Bahasa, Pelajaran dan Kebudayaan Kebangsaan akan dapat segera dilaksanakan. Sekaligus dapat memberi tumpuan untuk membangunkan sosio-ekonomi Melayu Bumiputera.

 

Dengan cara ini jugalah pelbagai kusut-masai masalah dan kemelut orang Melayu dapat kita rungkaikan sungguhpun mungkin tidak dapat diselesaikan seratus peratus.

 

Tidakkah orang Melayu rasa khuatir melihatkan barisan kabinet kerajaan hari ini yang didominasi kaum bukan Melayu lantaran memegang kementerian-kementerian ʽpentingʼ?

 

Jika kepimpinan Melayu-Bumiputera diwujudkan hasil gabungan semua kerusi milik Melayu-Bumiputera baik dari BN mahupun PR, pelbagai masalah yang menyelimuti orang Melayu sekurang-kurangnya lebih mudah diselesaikan apabila badan-badan yang bertanggungjawab dipegang sepenuhnya oleh bangsa kita sendiri.

 

Cukuplah selama lebih 50 tahun kita terlalu banyak bertolak-ansur dengan bukan Melayu. Politik permuafakatan yang diterima oleh kita selama ini sebenarnya hanya merugikan orang Melayu sedangkan orang bukan Melayu pula semakin hari semakin untung. Sekarang pun dapat dilihat, mereka bukan sahaja tidak menghormati hak dan kepentingan Melayu seperti yang telah digariskan Perlembagaan Persekutuan malah masih tidak berpuas hati menuntut itu dan ini.

 

Sebelum ini pun UMNO yang dikatakan peneraju orang Melayu banyak kali terpaksa tunduk pada tuntutan ʽrakanʼ api dalam sekamnya iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

 

Malah, rasanya tidak mustahil jika PR dapat menggantikan kerajaan BN sekarang ini pun mitos perulangan Sang Sisyphus akan berlaku lagi kerana semuanya atas kepentingan politik parti. [1]

 

DAP yang ʽmenghantuiʼ PR tentunya akan menggunakan fungsi taringnya bagi menuntut apa yang dipanggil mereka sebagai Malaysian Malaysia dan kononnya hak sama rata yang sebenarnya hanya meluaskan lagi dominasi kuasa politik, ekonomi dan budaya bukan Melayu di tanah air ini.

 

Adakah kita berterusan mahu melihat milik kita iaitu kuasa politik, hak, kepentingan dan kekuasaan orang Melayu semakin menguncup hari ke hari atas hujah klise ʽdemi perpaduanʼ?

 

Sudahlah! Orang Melayu kini sudah tidak mempunyai banyak masa untuk saling bertekak sesama kita serta dalam masa yang sama terpaksa pula banyak kali mengambil hati dan termakan hati akibat mengalah dengan kehendak kaum-kaum lain.

 

Berdasarkan kekuatan kita dari segi komposisi penduduk, jumlah kerusi di Parlimen dan keabsahan hak orang Melayu-Bumiputera di sisi Perlembagaan Persekutuan, kepimpinan bangsa Melayu mestilah ditegakkan segera jika mahu melihat generasi kita pada masa depan selamat terpelihara.

 

**** 


[1] Prof. Rahman Shaari telah mengaitkan senario politik Negara ini seperti mitos perulangan Sang Sisyphus dalam Sinar Harian, 29 Julai 2008.

July 30, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: