Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Fitnah yang bermaharajalela

Oleh: Mohamad Radzwill bin Abdullah

 

Malaysia kini berhadapan dengan krisis kepercayaan yang kronik. Tinjauan terkini terhadap kes liwat Anwar Ibrahim menunjukkan lebih 98% tidak mempercayai dakwaan tersebut dan disamping itu juga percaya ianya merupakan satu konspirasi terhadapnya. Malahan kebanyakan berpendapat ianya merupakan satu percubaan sesetengah pihak untuk mengalih tumpuan daripada kes Althantuya.

 

Kini kepercayaan terhadap kerajaan adalah tipis sekali. Apa jua tindakan yang dibuat oleh kerajaan ataupun maklumat yang diberi mereka ditolak oleh rakyat. Tidak kira samada isu minyak, harga barang runcit, Althantuya, penutupan dagangan di Bursa Malaysia mahupun kes liwat Anwar Ibrahim.

 

Pihak-pihak yang bertelagah kini tuduh-menuduh antara satu sama lain. Pihak Anwar menuduh kerajaan berkonspirasi terhadapnya, manakala pihak kerajaan pula menuduh Anwar adalah pencipta konsipirasinya sendiri.

 

Sedihnya, masyarakat bagaikan telah menerima sebulat suara bahawa kerajaan berada di pihak yang salah manakala lawannya berada di pihak yang benar.

 

Dengan tidak menyebelahi sesiapa, kepercayaan ‘totok’ kepada sesuatu pihak adalah tidak baik bagi sesebuah sistem masyarakat yang bertamadun. Ini akan mengakibatkan perilaku yang tidak adil akan berlaku kepada pihak yang diwenang-wenangkan (yang senang-senang dianggap) bersalah.

 

Al-Quran mengingatkan kita dalam surah al-Maidah ayat 8, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

Oleh itu masyarakat seharusnya bersikap adil kepada semua pihak tidak kira yang dituduh atau yang menuduh, yang didakwa atau yang mendakwa. Kita tidak seharusnya dengan cepat membuta-tuli menyokong dengan mengatakan bahawa kerajaan telah menutup konspirasi dengan membuat konspirasi yang baru.

 

Namun begitu kita sebagai manusia yang berakal perlu sentiasa berwaspada kepada semua pihak tidak kira kerajaan ataupun tidak dan perlu menyelidiki segala berita yang dipaparkan kepada masyarakat;

 

al-Quran, surah al-Hujurat ayat 6 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

 

Selain itu, Utusan Malaysia 4 Julai 2008 muka hadapan melaporkan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berasa gusar akibat fitnah yang bermaharajalela. Menurut beliau, sepanjang 30 tahun beliau terlibat dalam politik, peristiwa demi peristiwa yang berlaku waktu ini adalah yang terburuk pernah dihadapinya. Rakyat telah berasa takut, kelam-kabut, bimbang dan kurang yakin.

 

Nabi Muhammad S.A.W telah bercerita tentang fitnah yang besar akan berlaku di sebelah timur. Ini diriwayatkan dalam Hadith Riwayat Bukhari, artinya : Dari Ibnu Umar (Radiallahu ‘Anhuma) beliau berkata : bersabda Rasulullah (Shalallahu ‘Alahi Wassallam) : “Ya Allah berikanlah berkah kepada kami (dan kepada) negara Syam, Ya Allah berikanlah berkah kepada kami (dan kepada) negara Yaman”, berkata orang-orang Najd : “dan negeri kami Ya Rasulullah ?”, “Ya Allah berikanlah berkah kepada kami (dan kepada) negara Syam, Ya Allah berikanlah berkah kepada kami (dan kepada) negara Yaman”, berkata orang-orang Najd : “Dan negeri kami Ya Rasulullah ?”. Bersabda Rasulullah (Shalallahu ‘Alaihi Wassallam): “Dari negri Najd timbulnya gempa dan dari sana timbulnya fitnah, dan dari sana pula munculnya tanduk syaitan”.

 

Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 6: 2598, No: 6681. Tetapi dalam bab yang bermaksud: “Apa yang dikatakan dalam hal gempa bumi dan tanda-tanda Kiamat” beliau meriwayatkannya secara mauquf (terhenti setakat Ibn Umar radhiallahu ‘anhum) sahaja. Lihat rujukan yang sama, 1: 351, No: 990.

 

Imam Bukhari menafsirkan ‘Najd’ adalah satu kawasan disebelah timur.

 

Sementara itu di dalam Sahih Muslim, Salim bin Abdullah bin Umar berkata, maksudnya:

 

Wahai penduduk Iraq! Alangkah banyaknya persoalan kamu tentang perkara kecil dan alangkah banyaknya pula dosa besar yang telah kamu lakukan, aku mendengar ayahku (yakni) ‘Abd Allah Ibn ‘Umar berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya fitnah itu datang dari sebelah sini, lalu Baginda mengisyaratkan tangannya ke sebelah Timur, (arah) di mana terbitnya dua tanduk Syaitan…”

 

Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad ‘Abd Al-Baqi, Dar Ihya’ At-Turath Al-’Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 4: 2229, No: 2905.

 

Fitnah yang tidak berkesudahan kini bagaikan riwayat Rasullullah bahawa fitnah itu akan timbul di sebelah timur dan Malaysia itu berada di timur Negara Arab.

 

Oleh itu dalam hal-hal sebegini masyarakat seharusnya tenang, tidak tergopoh-gapah, dan tidak menunding jari. Namun diwaktu yang sama masyarakat harus sentiasa mendesak ke arah kebenaran.

 

Andaian demi andaian tidak akan meredakan fitnah yang telah timbul. Masyarakat seharusnya tidak mudah menganggap dunia ini penuh dengan konspirasi. Kadang kala yang benar itu yang terpapar. Namun adakalanya juga yang terpapar itu tipuan belaka.

 

Oleh itu tinggalkan andaian, anggapan dan fitnah. Selidikilah dengan berkehendakkan kebenaran. Sesungguhnya hanya dengan kebenaranlah munculnya keadilan.

July 4, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: