Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Fahami nilai bahasa kita

 

BERADA di Beijing membolehkan penulis menonton pelbagai saluran televisyen antarabangsa antaranya dari China, Korea, Jepun, Jerman, Perancis, Portugal, Rusia, Thailand, Vietnam termasuklah beberapa saluran televisyen Malaysia.

Secara keseluruhannya, puluhan siaran televisyen di luar negara Malaysia begitu kuat jati diri bangsanya terhadap budaya dan bahasa kebangsaan negara mereka.

Berbeza pula dengan saluran televisyen negara kita yang caca-marba nilai budayanya apabila kedudukan bahasa kebangsaan seperti mangsa ‘lemas’ akibat hempasan badai pelbagai bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa vernakular.

Di saluran televisyen China misalnya, anda tidak harus terkejut melihat bintang filem Hindustan ‘bercakap’ dalam bahasa Mandarin. Begitu juga siri-siri drama popular dari Korea dan Jepun yang ada antaranya pernah disiarkan di Malaysia telah dialih suara ke dalam bahasa rasmi republik itu iaitu bahasa Mandarin.

Pendek kata, semua jenis program televisyen sama ada filem, drama mahu pun siri animasi asing semuanya akan dialih suara di dalam bahasa sendiri bukan mengekalkan bahasa ‘orang lain’ dengan sekadar meletakkan sari kata seperti yang menjadi amalan dalam bidang penyiaran Malaysia sekarang ini.

Malah, ulasan untuk perlawanan bola sepak antarabangsa yang disiarkan secara langsung juga menggunakan sepenuhnya bahasa mereka bukan menyumbat terus khalayak peminat sukan dengan bahasa Inggeris seperti di negara kita.

Bercampur-adukBagi siaran berita, sukar sekali kita rasa ‘sakit’ telinga mendengar pemimpin atau orang yang ditemuramah menggunakan bahasa bercampur-aduk malah lebih teruk lagi bercakap terus sepenuhnya dalam bahasa asing.

Program hiburan mereka tidak kurang hebatnya dengan kepetahan golongan artis bertutur dalam bahasa mereka sendiri. Malah, terdapat sebuah rancangan nyanyian berkonsepkan karaoke oleh sebuah stesen televisyen Jepun yang mengundang orang bukan Jepun untuk turut sama mendendangkan lagu dalam bahasa mereka. Jika di Malaysia, tentu lagu bahasa Inggeris akan dikumandangkan.

Namun, itulah hakikatnya amalan media penyiaran di dunia luar dari kepompong Malaysia. Ketika kita gah kononnya mahu menjadi warga global sehingga sanggup mengabaikan bahasa Melayu, mereka sebaliknya menganggap kesungguhan mengukuhkan bahasa sendiri adalah perisai bangsa terbaik dalam berhadapan dengan cengkaman hegemoni budaya yang sebenarnya terselindung di sebalik topeng globalisasi itu.

Lain pula halnya di Malaysia, sesama rakyat Malaysia pun bahasa Inggeris begitu berleluasa digunakan.

Tidak keterlaluan penulis menyifatkan hanya televisyen di Malaysia satu-satunya media di dunia ini yang merendah-rendahkan martabat bahasa rasmi dan kebangsaan sendiri.

Ada kalangan rakan rakyat China yang mengikuti kursus Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) bertanyakan soalan: ”Orang Malaysia sekarang sudah mahu ‘buang’ bahasa Melayukah?”

Oleh itu, segenap lapisan rakyat Malaysia baik pengamal media termasuk para pemimpin kembalilah ‘bertaubat’ dengan menyanjung tinggi bahasa kita dalam semua urusan kehidupan termasuklah dalam bidang penyiaran.

Adakah wajar langkah menuju kepada penguasaan Inggeris seperti sudah sampai peringkat pemusnahan kebangsaan pula? Jika situasi sebegini berterusan, tiada gunanya kita melaungkan usaha ‘mengangkasakan’ bahasa Melayu.

June 26, 2008 - Posted by | Uncategorized

1 Comment »

  1. Disiarkan dalam UTUSAN MALAYSIA, 26 Jun 2008

    Comment by :: lazuardi sepi :: | July 9, 2008 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: