Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Mufti Perlis: Saya bukan ulama ‘Kakak Tua’!

Sumber: Mstar Online

PETALING JAYA: Ketika pegangan politiknya heboh diperkatakan cenderung kepada Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil untuk menyatakan pendiriannya yang langsung tidak berminat dengan politik.

“Cukuplah… kerja sayapun tak habis. Kerja politik untuk orang politik.

“Saya bukan orang politik. Hanya kerana saya berada di majlis PKR dan menjadi ahli panel Wacana Perdana 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Kota Bharu semalam maka ramai yang membuat tafsiran sendiri,” jelas Dr Asri ketika dihubungi mStar Online tengah hari tadi.

Menurut Dr Asri, kehadiran beliau dalam forum majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) yang mendapat sambutan hangat semalam, tidak ada kena mengena dengan fahaman politik ataupun penyertaan beliau dalam PKR.

“Itu tanggungjawab saya. Kalau orang Umno panggilpun saya pergi. Sebagai Mufti saya tidak boleh berpolitik dan berpihak pada mana-mana parti politik. A Mufti should be non-partisan. Saya perlu bebas menyatakan kebenaran dan fakta tentang Islam tanpa mengira fahaman politik atau di mana majlispun saya berada,” katanya.

Dr Asri juga menyangkal dakwaan yang beliau menentang kerajaan pusat.

“Apa yang saya cakapkan selama ini adalah atas dasar kebenaran dan tidak bermakna saya adalah penyokong mana-mana parti.

“Pandangan setuju atau tidak tentang satu-satu pendirian parti itu bukan petanda yang saya menyokong mereka. Kita perlu ada cara berfikir yang tersusun. Kalau saya perlu sokong, saya sokong begitulah sebaliknya kalau saya perlu kritik,” katanya.

Beliau turut membidas cakap-cakap yang mengatakan beliau memihak pada satu parti.

“Adakah kerana saya pergi ke satu majlis anjuran PKR bermakna saya ahli PKR?

“Inilah cara berfikiran ahli-ahli politik di Malaysia yang jumud, yang berkehendakkan kita menyokong mereka 24 jam.

“Tidak semestinya saya menyokong PKR kalau saya berucap di medan mereka. Dan tidak semestinya saya menyokong BN kalau saya berada di tempat mereka. Saya bebas dari daerah itu,” jelasnya.

“Kita perlu bersifat objektif kerana kita bukan malaikat yang boleh membuat pemilihan mutlak di atas kebenaran. Ada kalanya boleh jadi betul satu perkara tetapi salah di masa yang lain. Kebenaran boleh menjelma dalam berbagai wajah,” katanya.

Katanya, sudah sampai masanya kita mengajar rakyat berfikir secara objektif.

“Rakyat perlu bercakap dengan terbuka dan bebas dari cengkaman fikiran yang mengongkong. Rakyat perlu bebas berfikir tanpa dipaksa dan dikongkong dan membuat penilaian berdasarkan facts and figures. Itu baru dinamakan kebebasan,” jelasnya.

Kata Dr Asri lagi, ulama atau Mufti bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka juga seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa.

Namun begitu, walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.

“Mereka juga boleh menjadi kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang,” jelas Mufti itu lagi.

Kata beliau lagi, peranan Mufti adalah menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya.

“Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.

“Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Dan saya bukan ulama ‘kakak tua,’ katanya.

Bagi Dr Asri, menjadi mat rempit, perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat.

“Kita memerlukan ilmuwan yang mempunyai semangat seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a.. Di zaman Ibn Taimiyyah ketika rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan menulis dan menyebarkan fitnah memburukkan Ibn Taimiyyah.

“Tujuan untuk menutup kelemahan dan menjaga kepentingan sendiri. Dan selepas zaman Ibn Taimiyyah, gelagat ulama jenis ini tetap sama. Ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran,” katanya.

Tegasnya lagi, jika ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir.

“Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja,” kata Dr Asri.

June 24, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: