Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Martabat Bahasa Rasmi di China

Oleh MOHD. ARIF ATAN

Pengalaman penulis berada di Beijing sejak pertengahan bulan lalu menyaksikan betapa tingginya martabat bahasa rasmi di negara Republik Rakyat China ini. Bahasa Mandarin atau juga dipanggil bahasa Huayu atau Guoyu begitu luas digunakan sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa nasional dan perpaduan bagi 23 buah wilayah/ negeri, 5 kawasan autonomi dan 2 kawasan istimewa.

Taraf bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi bukan sekadar di atas kertas dan lembaran teks buku belajar bahasa Mandarin bagi pelajar-pelajar sekolah sahaja.

Dari bangunan rasmi kerajaan, pusat antarabangsa, universiti, lokasi tumpuan pelancong seperti Tembok Besar China dan Istana Musim Panas sehingga ke kawasan kompleks perniagaan seperti di Da Hong Men, bahasa Mandarin begitu ketara terpapar di mana-mana. Jika wujud bahasa asing sekalipun saiz tulisannya lebih kecil dengan kedudukannya di bawah bahasa Mandarin.

Siaran program di pelbagai saluran TV tempatan di China lebih 90 peratus dalam bahasa mereka. Wawancara bersama pemimpin, program bual bicara bersama tokoh intelek tempatan serta program bercorak hiburan tidak sewenang-wenanggnya mencampur-adukkan bahasa mereka dengan bahasa asing. Jauh bezanya dengan di negara ini apabila perwakilan d Parlimen pun tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) misalnya walaupun menawarkan hampir 50 bahasa asing seluruh dunia kepada pelajar tempatan juga dari luar negara tetapi bahasa Mandarin masih ‘memayungi’ seluruh sistem di da xue (universiti) ini. Pengumuman melalui siar raya, kain rentang dan notis di papan kenyataan semuanya dalam bahasa Mandarin jauh berbeza dengan perkembangan yang berlaku di universiti tempatan di Malaysia mutakhir ini sehingga penerangan peraturan di dalam dewan peperiksaan pun menggunakan bahasa Inggeris!

Jati diri bangsa China yang kuat berpegang pada bahasanya mungkin satu penyebab ekonomi negaranya pesat berkembang kini. Segala-gala nama asing akan ‘dimandarinkan’ termasuklah nama negara, istilah dan nama makanan. Jika mahu memperkenalkan asal negara kita misalnya, istilah Malaysia akan disebut Malaixiya. Kalau kita hanya menggantikan huruf c pada America kepada Amerika tetapi di China ia terus ditukar kepada Meiguo. Di restoran, memesan kekou kele lebih difahami daripada menyebut coca-cola. Mungkin bagi kita agak ganjil mendengar ais krim dipanggil ’kuih salji’ tetapi hakikatnya di China itulah maksud xue gao.

Bagi sesiapa yang telah menjejak premis jualan komputer di Low Yatt, Bukit Bintang tentu sedia maklum kedudukan bahasa kebangsaan yang seperti melukut di tepi gantang. Sedangkan di Beijing, kompleks premis jualan komputer di sini yang dipanggil Zhong Guan Cun (Bandar Elektronik) yang jauh lebih besar dari Low Yatt tetap teguh menggunakan bahasa rasmi mereka bukannya bahasa Inggeris seperti kita. Walaupun wujud pengunjung kulit putih di pusat jualan mega komputer di sini namun bahasa perantara paling utama digunakan baik lisan atau tulisan tetap bahasa Mandarin.

Malah, perisian komputer mereka juga sepenuhnya dalam bahasa Mandarin. Mereka juga tidak segan menyebut komputer sebagai dian nao yang jika diterjemahkan secara langsung bermaksud “kotak elektrik”. Resit pembelian juga sepenuhnya dalam bahasa Mandarin.

Jika di Malaysia, pengumuman tiba di destinasi dalam perkhidmatan LRT akan menggunakan bahasa Melayu diikuti bahasa Inggeris walaupun hanya sekadar menyebut “stesen seterusnya…”. Namun, berbeza di Beijing pengumuman tiba di destinasi di dalam bas awam sepenuhnya dalam bahasa Mandarin.

Gagalnya bahasa Melayu dmartabatkan untuk menyatakan perasaan juga jelas kelihatan dalam masyarakat kita. Orang Melayu sendiri sekarang ini sudah liat mahu menyebut “terima kasih” atau “maafkan saya”. Sebaliknya, tidak rasa malu mengucapkan thanks dan sorry. Berbeza di China, mereka lebih selesa mengucapkan xiexie dan duibuqi.

Mengapa tidak kita contohi bangsa lain yang bersyukur dengan bahasa mereka dengan menggunakannya secara meluas tidak seperti kita yang seperti kufur atas bahasa sebagai nikmat pemberian Tuhan sebaliknya ’menimang’ tinggi bahasa asing pula secara keterlaluan?

Kuatnya bangsa China mempertahankan bahasa mereka walaupun mahu mencapai taraf negara maju menyebabkan bahasa mereka dapat digunakan secara meluas dan berkembang pesat dipelajari oleh orang asing seluruh dunia pula.

Sebaliknya, kita pula ’gila’ menyempitkan bahasa Melayu yang telah diiktiraf antara bahasa yang ramai penuturnya di dunia. Apalah nilai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan sekiranya dipinggirkan tidak diperkasakan dalam erti kata sebenar?

Benarkah bangsa Malaysia kini sedang bergerak mahu maju berdasarkan ’acuan’ kita sendikri jika bahasanya tidak lagi dimartabatkan dan digunakan secara meluas?

Sekian, terima kasih.

MOHD ARIF ATAN

Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China.

June 10, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: