Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Harga Petrol Diesel Naik

Utusan Malaysia 6 Jun 2008 muka 14

Kenaikan harga petrol sebanyak 78sen seliter dan harga diesel sebanyak RM1 seliter amat tidak dijangkakan. Di muka hadapan Utusan bertarikh 3 Jun 2008 terpampang bahawa minyak hanya akan dinaikkan pada bulan Ogos 2008, maka berita pengumuman kenaikkan harga minyak pada lewat petang harisungguh diluar jangkaan.

Umumnya tidak boleh dinafikan harga pasaran minyak dunia naik mendadak. Hishamuddin Rais, Penganalisis Sosial a.k.a Pengarah Filem dalam tulisan tetapnya di www.malaysia-today.net tahun lepas telah menjangkakan bahawa dunia kini akan menempa satu ‘armageddon’ minyak. Simpanan minyak dunia semakin menyusut dan akan hilang dalam lebih kurang 1000 tahun lagi. Ketika itu manusia yang hidupnya selama ini bergantung kepada minyak akan kacau bilau. Dunia akan kembali ke zaman ais atau zaman batu di mana hanya jentera-jentera mekanikal sokongan penuh manusia sahaja yang mampu berjalan dan digerakkan. Elektrik akan terpadam, kereta tidak boleh digunakan, komputer tiada, air tidak boleh dipam, telefon bimbit tidak berguna. Pada masa itu negara-negara maju dan moden menjadi dungu. Rakyatnya yang biasa menekan pedal dan memicit butang tidak tahu meneruskan kehidupan. Sementara orang-orang asli di amazon, orang-orang hitam di afrika dan orang-orang eskimo di kutub utara dan selatan akan muncul sebagai bangsa dominan meneruskan kehidupan di dunia ini.

Itu adalah fantasi yang kemungkinan akan berlaku di masa hadapan. Dan kemungkinan itu amatlah besar. Nasihat Perdana Menteri agar rakyat mengubah cara hidup itu baik dan benar. Kita harus mengasimilasikan kehidupan agar terbiasa dengan ketiadaan elektrik dan gas.

Penduduk yang tidak langsung merasai kesan adalah penduduk kampung di pedalaman. Mereka ini hanya menggunakan air perigi dan air sungai, hidup berbekalkan api pelita, bergerak menggunakan basikal dan berkomunikasi hanya dengan jiran-jiran terdekat.

Kini penduduk bandar perlu berbelanja hanya perlu. Selain dengan kenaikan harga minyak pada hari ini, kerajaan akan menaikkan tarif elektrik pula pada 1 Julai. Pada beberapa bulan yang lepas, harga makanan ruji rakyat iaitu beras telah dinaikkan. Semuanya telah meningkat dan peningkatan harga-harga barang komoditi lain dijangka turut meningkat.

Beruntung di Malaysia, kerajaan tidak berhadapan dengan karenah rakyat yang memeningkan. Di serata dunia, di AS, Amerika Selatan, Britain, Eropah, Indonesia dan lain-lain, rakyatnya melakukan mogok dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak. Walaupun kita mengetahui tiada hasil akan perilaku sebegitu, namun ianya akan memberi satu tekanan kepada kerajaan agar sentiasa memikirkan nasib rakyat kebanyak. Tetapi di Malaysia, rakyat menyambut kenaikan harga minyak dengan beratur panjang di stesen-stesen minyak untuk memenuhi tangki-tangki kenderaan mereka. Kayalah pengusaha stesen minyak semalam. Dan hari ini semakin kayalah mereka.

Dahulu, kerajaan seringkali membandingkan harga minyak tempatan dengan negara-negara jiran. Bahawa harga minyak tempatan jauh lebih murah dari harga minyak di negara-negara lain. Walaupun harga barang-barang mentah mereka lebih mahal namun harga barang siap (‘finished good’) mereka jauh lebih murah dari Malaysia.Contohnya di Indonesia, memang benar harga petrol, gas, dan tepung mereka lebih mahal dari Malaysia namun kebijaksanaan kerajaan mereka menyebabkan harga barang-barang diproses atau barang-barang siap mereka jauh lebih murah dari Malaysia seperti kereta, ubat gigi, makanan dalam tin, berus gigi, sabun mandi, meja, kerusi dan komputer

Ini menunjukkan walaupun harga petrol mereka mahal, tetapi ianya dimbal balik dengan murahnya harga-harga barangan gunaan pengguna. Walhal di Malaysia, barangan siap Malaysia sungguh mahal sekali, dicampur dengan kenaikan harga petrol kali ini dan kenaikan tarif elektrik pada Julai nanti, kehidupan di Malaysia adalah sungguh diluar kemampuan rakyat jelata.

Kerajaan diharap dapat prihatin dengan situasi yang menimpa rakyat kebanyak. Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan terdiri dari jutawan-jutawan, Datuk-Datuk, Tan Sri-Tan Sri, ahli-ahli korporat, Putera-Putera raja yang mungkin alah bisa tegal biasa dengan kenaikan 78sen harga minyak. Majoriti rakyat Malaysia terdiri dari mereka yang terpaksa mempunyai 2 ke 3 kerja untuk menampung sara hidup mereka dan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga banrang-barang mentah, diharap kerajaan berusaha menurunkan harga barang-barang siap (‘finished good’) agar dapat meringankan beban rakyat jelata.

Semoga selepas ini kerajaan tidak pula menggunakan ustaz-ustaz dan ulama-ulama untuk menerapkan dipemikiran rakyat bahawa kita harus sentiasa bersyukur dan berserah dengan ketentuan Ilahi. Diharap agama jangan lagi digunakan untuk menyelamatkan diri sendiri.

June 10, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: