Melayu itu Indah Hebat Gagah

Just another WordPress.com weblog

Kesaksamaan Tidak Harus Ketepikan Keadilan

Kesaksamaan Tidak Harus Ketepikan Keadilan

 

Dalam kita mengejar kesaksamaan, kita lupa akan konsep sebenar keadilan. Itu mungkin maksud kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tuntutan Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng yang berkeras mahu menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Mutiara.

 

Saksama (fair) dan adil (justice) adalah dua konsep yang berbeza. Rakyat Malaysia perlu faham bahawa kesaksamaan bermaksud semua orang mesti mendapat hak yang sama dan juga diperlakukan sama rata. Pendek kata, dasar seperti meritokrasi adalah berteraskan pada semangat kesaksamaan ini.

 

Berbeza pula dengan justice yang membawa erti bahawa semua orang perlu diberi keadilan agar tiada sesiapa rasa tertindas dalam kehidupan mereka.

 

Kadang kala pelaksanaan untuk mengimbangi saksama dan adil bercanggah antara satu sama lain. Contohnya, apabila seorang kaya dengan individu miskin membawa suatu kes untuk dibicarakan di mahkamah.

 

Apabila pihak mahkamah memberi seorang peguam kepada si miskin untuk membantunya dalam perbicaraan tersebut tentulah dilihat tidak saksama terhadap si kaya yang tidak pula mendapat peguam percuma. Namun, tindakan tersebut sebenarnya adil kepada si miskin yang tidak mampu mengupah seorang peguam.

 

Dengan menggunakan analogi yang sama, adakah adil untuk membiarkan orang Melayu bergelut meningkatkan ekonomi mereka sendiri tanpa bantuan pemerintah hanya kerana mahukan kesaksamaan?

 

Apapun, konsep adil dan saksama boleh dilaksanakan secara total di negara yang masyarakatnya adalah homogenous (satu bangsa) seperti Arab, Eropah, Jepun, China, Indonesia dan India.

 

Namun, bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia, kita tidak harus terlalu gelojoh menuntut kesaksamaan sehingga mengabaikan keadilan.

 

Ironisnya, ahli akademik tempatan kita juga gagal menemui formula bagi masyarakat majmuk agar konsep ‘fair and justice’ boleh dilaksanakan dalam pola kerangka sosial masyarakat tersebut.

 

Kebiasaannya mereka hanya menyatakan bahawa keadilan, kesaksamaan, kemajuan, keselamatan dan perpaduan hanya boleh dikecapi oleh satu masyarakat yang homogenus.

 

Persoalannya, mengapa masyarakat majmuk tidak boleh mengecapi kebahagiaan dan kesaksamaan sama seperti masyarakat homogenus?

 

Ini kerana perasaan saling mencurigai sukar dibendung tambahan pula jika jurang interaksi sosial antara kaum begitu lebar.

 

Oleh itu, masalah utama dalam masyarakat majmuk adalah prasangka antara satu kumpulan kaum dengan kaum lain.

 

Rasa was-was terhadap orang Melayu wujud kerana mereka belum benar-benar mengenali akal budi orang Melayu kerana bahasa dan budaya yang diamalkan jauh berbeza dengan orang Melayu.

 

Keadaan ini mendorong kepada persaingan tidak sihat dengan masing-masing mahu menjadi juara sehingga mengetepikan keadilan atas dasar mahu memperjuangkan kaum sendiri.

 

Apabila salah seorang daripada anggota kaum tertentu ‘diusik’ maka dalam sekelip mata kemarahan massa tiba sehingga sanggup mengambil tindakan mencabar undang-undang negara. Ini dapat dilihat dalam tragedi di Kampung Medan pada tahun 2001 lalu.

 

Semua pihak mesti sedar bahawa bangsa Malaysia pada asalnya berteraskan satu ciri budaya iaitu budaya masyarakat  Melayu.  Asal-usul Malaysia adalah dari Tanah Melayu yang masyarakat asalnya adalah kaum Melayu, berbahasa Melayu, berbudaya Melayu serta menguasai ekonomi kelautan (maritime) dan pertanian (agrarian).

 

Namun, kemunculan penjajah telah merosakkan segala-galanya sehingga impaknya dapat dilihat kini apabila akar Melayu kian terhakis di negara ini.

 

Dari segi demografi penduduk, orang Melayu hanya kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan warga Malaysia. Kuasa politik Melayu pula cuma berbaki 51 peratus jika berdasarkan kerusi Dewan Rakyat pasca pilihan raya ke-12 lalu.

 

Turut menyedihkan apabila kuasa ekonomi Melayu ‘mengemis’ dengan kadar 18.9 peratus manakala kuasa bahasa sebagai simbol budaya dan kesatuan utama rakyat Malaysia semakin lesu apabila melihatkan fungsi bahasa itu yang kian luntur dalam pelbagai bidang di negara ini.

 

Hakikatnya, kini masyarakat Malaysia adalah benar-benar majmuk. Kini, tiada lagi satu kaum yang dapat berdiri teguh dan megah menaungi kaum yang lain. Kalau dahulu pihak sayap kiri yang terdiri dari PKMM-PUTERA-AMCJA boleh mencapai kata sepakat ingin membentuk satu masyarakat homogenous Melayu di Tanah Melayu sebaliknya pada masa ini satu ‘pakatan’ mahupun ‘barisan’ tidak dapat membentuk kembali ideologi berkenaan.

 

Biarkan atau Daulah Islamiyah?

 

Terdapat satu pihak beranggapan dengan membiarkan kaum Cina mendominasi bahasa dan budaya di Malaysia keadaan mungkin akan lebih maju, berjaya dan bahagia. Dengan penguasaan kaum Cina terhadap ekonomi Malaysia, penguasaan bahasa dan budaya mereka terhadap Malaysia akan betul-betul menyaksikan transformasi Malaysia yang hakiki. Keadaan bertambah buruk apabila sebahagian orang Melayu sendiri yang menyokong anggapan berkenaan.

 

Sebelah pihak pula mendakwa teori Daulah Islamiyah adalah ‘ubat’ paling mujarab dalam pembentukan bangsa Malaysia dengan semua orang tanpa mengira kaum bernaung di bawah payung kalimah La ila ha illa Allah.

 

Mereka menganggap, daulah yang merentasi kaum dan bahasa ini akan mampu mewujudkan kesaksamaan dan keadilan untuk semua orang tanpa timbul sikap prasangka dan tiada lagi politik berasaskan kaum (racial based politics) kerana menganggap bahawa semua orang akan bekerjasama atas nama Syariah Islamiyah.

 

Namun, timbul persoalan, apakah bukti bahawa konsep Daulah Islamiyah tersebut telah berjaya diamalkan dalam mana-mana tamadun bangsa yang majmuk? Semua negara yang dikatakan negara Islam antaranya seperti Arab Saudi, Iran, Mesir, Jordan dan Pakistan adalah masyarakat yang sebangsa (homogenous).

 

Mengambil kerajaan Turki Uthmaniyah sebagai bukti kejayaan Daulah Islamiyah juga tidak tepat kerana kerajaan bangsa Turki itu sendiri kemudiannya hancur apabila orang Eropah Andalusia cuba meloloskan diri dari kerajaan orang Turki. Begitu juga perjuangan kemerdekaan orang Parsi dari jajahan Kerajaan Turki Uthmaniyah di Iran dan orang Arab Hijaz di Arab Saudi.

 

Akhirnya, dunia menyaksikan tiada satu pun ideologi yang berjaya membawa pelbagai kaum dan bahasa untuk membentuk satu kerajaan yang besar dan bersatu. Setiap bangsa hanya mahukan bangsanya sahaja yang memerintah negara.

 

Nabi Muhammad S.A.W sendiri juga adalah pelopor pada gerakan nasionalisme. Beliau mengetengahkan konsep satu Tuhan, satu kitab, satu kiblat, satu budaya dan satu bahasa. Konsep segalanya satu itu sendiri adalah satu konsep nasionalisme.

 

Malangnya, ideologi “kesatuan” inilah yang ditentang oleh golongan Islamik kini. Walhal, Rasulullah yang memerintah Madinah dan Mekah sendiri adalah satu komuniti yang terdiri dari satu bangsa dan satu bahasa iaitu orang Arab Hijaz dan puak Yahudi yang tinggal di Madinah ketika itu turut berbahasa Arab.

 

Oleh itu, tiada ‘penawar’ lain yang dapat mengubat tubuh negara kita kecuali nasionalisme. Hanya ubat nasionalisme sahaja yang dapat membawa bangsa Malaysia ke arah kesaksamaan dan keadilan yang diperjuangkan oleh semua orang.

 

Hanya dengan kejayaan pembentukan masyarakat homogenus Malaysia barulah akta bersifat draconian seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Cetak dan Penerbitan dan Akta Darurat boleh dihapuskan.

 

Seluruh Sultan-Sultan negeri, anggota Majlis Kabinet, hakim, wakil pembangkang, penggubal undang-undang, mufti, ustaz, sami, paderi dan masyarakat marhaen perlu menyedari hanya dengan masyarakat homogenus sahajalah  bangsa dan Negara itu dirahmati dan diredhai oleh Tuhan yang Maha Esa.   

 

May 6, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: