PAS Menyertai BN : Direstui
Setelah berfikiran panjang dan berbincang dengan ahli-ahli panel. Maka melayuliberal menyokong usaha perkongsian kuasa antara PAS dan UMNO.
Semoga perkongsian kuasa ini dapat mengembalikan kuasa Melayu dan membetulkan benda-benda yang tidak betul seperti isu papan tanda jalan, bahasa vernakular yang berleluasa, budaya asing yang kini menjadi dominan dll.
Isu papan tanda jalan: Tanda perlunya perkukuhkan dasar nasionalisme
23 Julai 2008
Oleh MOHD. ARIF ATAN
Sebelum ini usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba menaikkan papan tanda jalan berserta tulisan jawi terus sahaja diserang dengan alasan membazir, cauvinisme Melayu dan tidak mempunyai ʽsemangatʼ Malaysia.
Namun, tidakkah tindakan sekumpulan anggota Gerakan yang telah meletakkan enam papan tanda jalan berbahasa Cina di Georgetown baru-baru ini sudah terang lagi bersuluh membazir serta begitu tebal rasa perkaumannya?
Jalan-jalan terbabit ialah Lebuh Pantai, Lebuh Burma, Lebuh Chulia, Lebuh Carnarvon, Jalan MacAlister dan Jalan C.Y.Choy.
Kesemua nama jalan tersebut kecuali Jalan C.Y. Choy kemudiannya ʽdihadiahkanʼ dngan nama dalam dialek Kantonis.
Lebuh Pantai dirujuk sebagai Tho Kok Kay yang bermaksud Lebuh Jualan Borong; Lebuh Burma dipanggil Chia Chooi Lor yang bererti Jalan Terusan; Gu Gan Tang (Lebuh Kandang Lembu) untuk Lebuh Chulia; Lam Chan Ah (Sawah Padi Lumpur) untuk Lebuh Carnarvon serta Tiong Lor (Jalan Tengah) untuk Jalan MacAlister.
Jika tindakan tersebut dibiarkan atas pertimbangan tarikan pelancong dari negara Republik Rakyat China (RRC), adakah selepas ini jalan-jalan lain juga akan mempunyai papan tanda ʽalternatifʼ seperti itu?
Alasan untuk menarik perhatian pelancong China juga tidak tepat memandangkan di RRC sendiri bahasa rasmi yang digunapakai secara meluas oleh 56 suku kaum di republik itu ialah bahasa Mandarin. Ini bermakna bukan semua di kalangan mereka faham dialek Kantonis terutama dari wilayah utara (terletaknya Beijing) dan tengah China.
Malah, umum sedia maklum sebahagian pelancong dari negara itu ke Malaysia juga sebenarnya adalah ʽpelencongʼ kerana menyalahgunakan visa pelancong, pas pelajar, pas kerja atau pas perkahwinan. Buktinya, pada tahun lalu sahaja dianggarkan lebih 70 peratus iaitu 2,800 daripada 4,000 orang wanita negara China didapati menyalahgunakan visa pelancong yang dipercayai berkemungkinan besar terjebak dalam aktiviti pelacuran. (Utusan Malaysia, 27 November 2007).
Selain itu, wujud juga unsur penyalahgunaan logo Visit Malaysia lantaran tidak mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pelancongan sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Azalina Othman.
Pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Georgetown sebagai antara 27 tapak warisan dunia awal bulan ini juga tidak bermakna apabila wujud kecenderungan mahu menonjolkan warisan budaya yang jauh tiada beza dengan apa yang ada di negara China.
Paling penting, Keluhuran Perlembagaan yang terkandung dalam salah satu Rukun Negara juga nampaknya tidak benar-benar dihayati. Jika dikaitkan dengan Perkara 152, adakah bahasa selain daripada bahasa Melayu sewenang-wenangnya boleh digunakan pada tanda nama jalan yang merupakan suatu keadaan yang rasmi sifatnya?
Sudahlah mencabar perlembagaan malah mencabar pula semangat Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bertunjangkan kebudayaan asal masyarakat rantau ini. Laungan mahu menjadi bangsa maju mengikut acuanʼ kita sendiri juga diabaikan apabila ʽacuanʼ yang ada kini lebih berkiblatkan bahasa dan budaya negara lain.
Apabila menyentuh soal jati diri pula, jati diri apa yang mahu ditonjolkan melalui papan tanda jalan seperti itu? Jati diri kebangsaan atau jati diri perkauman?
Persoalan seterusnya, adakah tindakan sedemikian dapat membantu perpaduan antara kaum sedangkan jurang komunikasi kian dipisahkan melalui berleluasanya penggunaan bahasa vernakular?
Lebih malang pula taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tanah airnya sendiri. Pada ketika peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu disempitkan melalui pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), bahasa dari ras lain bukan sahaja kekal malah semakin berkembang menerusi langkah dan campur tangan politik perkauman di negara ini.
Hakikatnya, masyarakat Cina sebenarnya telah banyak ʽdiberi mukaʼ dalam apa yang mereka anggap sebagai memelihara budaya dan bahasa mereka sehingga seperti sudah sampai peringkat mengabaikan pula teras atau akar bahasa dan kebudayaan kebangsaan.
Perangkaan oleh Kementerian Pelajaran menunjukkan pada tahun 2006 sahaja terdapat sejumlah 1,288 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) di seluruh negara dan akan ditambahkan lagi dari semasa ke semasa. Itu belum termasuk lagi jumlah sekolah persendirian, kolej dan universiti milik mereka. Berdasarkan laman sesawang Bahagian Pelajaran Swasta yang belum dikemaskini, sehingga 2005 terdapat 60 buah sekolah menengah persendirian Cina dengan jumlah 51,234 orang pelajar di seluruh negara
Malah, program bahasa Cina termasuk Tamil sudah pun diperkenalkan kepada ribuan pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan sejak awal tahun lalu.
Bahasa mereka juga begitu luas tersebar melalui puluhan stesen dan program televisyen, penerbitan akhbar yang jauh melebihi bilangan akhbar berbahasa kebangsaan serta penghasilan filem sehingga wujud kategori Anugerah Filem Terbaik Bukan Melayu bermula Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) tahun lalu.
Tidak cukupkah semua itu sehingga papan tanda jalan pun mesti dalam pelbagai bahasa?
Barangkali juga isu papan tanda jalan ini sebenarnya satu petanda jelas untuk kita kembali memahami, menghayati seterusnya mencorakkan rupa bangsa Malaysia ini dengan ciri nasionalisme sebenar yang menekankan kebudayaan tempatan atau asal tanpa terlalu banyak tunduk kepada kehendak-kehendak bersifat perkauman melampau.